Pada 23 Mac yang lalu, Kelab Umno Korea telah mengadakan satu program yang diberi nama Jalinan 2013 bertemakan Green Environmental Picninc di Seoul Forest. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan KUK kepada pelajar- pelajar yang baru tiba di Korea. Di samping itu juga, hubungan antara pelajar lama dan baru dapat dieratkan melalui program ini.

Program bermula dengan kehadiran para peserta pada pukul 12.30 tengahari seperti yang dirangcang. Mereka terdiri daripada pelajar bahasa, tahun 1, 2, 3 dan 4. Pelajar yang sudah menamatkan pelajaran juga turut bersama-sama hadir memeriahkan aktiviti ini, menjadikan bilangan pelajar yang hadir seramai 157 orang.

Solat Zohor ditunaikan dahulu sebelum bermulanya aktiviti
Setelah itu, para pelajar menyiapkan diri untuk menunaikan solat Zohor secara berjemaah. Tazkirah ringkas juga telah disampaikan oleh wakil daripada Biro Penerangan.
Jamuan bermula


Kemudian, para peserta disediakan dengan jamuan tengah hari oleh pihak KUK. Menu tengah hari yang disediakan ialah nasi lemak dan ayam goreng beserta air teh o ais. Bersempena dengan tema aktiviti ini, para peserta telah diwajibkan untuk membawa bekas makanan dan cawan sendiri untuk jamuan ini. Malah, kami langsung tidak menyediakan peralatan makan minum untuk para peserta. Disamping menjaga alam sekitar dengan mengurangkan pengunaan barang plastik seperti cawan dan pinggan, tema ini juga mampu mengelakkan pembaziran dari segi kos perbelanjaan.

Gambar 4 : Sesi pengenalan AJK KUK
Aktiviti telah diteruskan pula dengan ucapan alu-aluan dan sesi pengenalan antara ahli jawatankuasa KUK, penasihat KUK, En Nizam, dengan para peserta yang hadir. Biro Penerangan KUK juga turut memberikan sedikit pencerahan tentang KUK. Dengan ini, para peserta dapat mengetahui serba ringkas tentang kelab ini dan tujuan penubuhannya.
Gambar 5 : Sesi perkongsian daripada saudara Umair Abdullah
Selepas tamatnya sesi pengenalan, para peserta telah diberi peluang untuk mendengar perkongsian pengalaman daripada saudara Umair Abdullah, bekas pelajar Inha University yang kini sedang berkerja di Syarikat LS di Korea. Beliau menceritakan kisah hidup dan juga pengalaman yang dilalui sepanjang berada di sini. Ini bertujuan untuk memberikan para peserta, terutamanya pelajar bahasa yang baru sahaja datang ke Korea, sedikit gambaran mengenai 4 tahun depan yang bakal mereka tempuhi. Slot ini juga diharapkan dapat memberikan motivasi kepada mereka supaya dapat menempuhi hidup di Korea dengan tabah.

Gambar 5 : Aktiviti riadah
Pada pukul 3.00 petang, aktiviti diteruskan dengan sesi riadah. Antara permainan yang telah disediakan ialah sepak raga dan futsal. Satu kuiz ramah mesra juga telah diselitkan didalam sesi ini. Sesi riadah diadakan untuk memastikan para peserta dapat mengeratkan hubungan dengan cara yang sihat dan menyeronokkan.

Gambar 7 : Ucapan terima kasih dan sesi bergambar
Sebelum bersurai, semua peserta yang hadir berkumpul untuk satu sesi bergambar sebagai kenang- kenangan. Kami juga turut memastikan kawasan aktiviti itu bersih seperti sebelumnya. Pihak KUK ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan ke atas para peserta yang hadir serta ahli- ahli jawatankuasa yang telah bertugas pada hari tersebut.